Monday, May 26, 2014

Harga kediaman naik di Lembah Klang


ARKIB : 26/05/2014 Harga kediaman naik di Lembah Klang
Oleh AZMAN IBRAHIM ekonomi@utusan.com.my PETALING JAYA 25 Mei - Satu pertiga daripada kondominium baharu dan lama di Lembah Klang diramalkan kosong menjelang 2015 berikutan masalah pe­ningkatan harga yang tinggi. Ketua Perunding Hartanah, Exastrata Solutions Sdn. Bhd. (Exastrata), Adzman Shah Mohd. Ariffin berkata, masalah ini berlaku disebabkan harga unit kediaman yang tidak dapat dibendung setiap tahun. Katanya, bagi pemilik kediaman itu, mereka tidak boleh menjual berikutan harga yang terlalu tinggi malah, penyewa juga tidak sanggup menyewa kerana harga yang tidak munasabah. Beliau memberitahu, statistik pada tahun 2011 dan 2012 menunjukkan terdapat peningkatan harga hartanah lebih 35 peratus, berbanding 10 peratus setahun peningkatan yang dijangkakan pemain industri. ‘‘Pembeli-pembeli kediaman baharu pada waktu ini mengambil langkah lebih berjaga-jaga terutamanya terhadap peningkatan harga kondominium di Lembah Klang,’’ katanya yang juga Naib Presiden dan Pengerusi Bahagian Juruukur Pe­ngurusan Hartanah, Penilaian dan Ejen Hartanah bagi Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini. Tambah Adzman Shah, masalah lambakan kediaman di Lembah Klang melibatkan kediaman mewah iaitu yang berharga lebih RM500,000 dan ia berlaku apabila semakin banyak penawaran kediaman mewah baharu berbanding kediaman mampu milik. Menurut beliau, terdapat impak mengenai masalah lambakan kondomonium mewah di Lembah Klang iaitu menjejaskan pengurusan atau pengurusan kondominium yang lumpuh. Katanya, pengurusan kondomi­nium yang lumpuh akan menyebabkan bangunan kondominium tidak terjaga dan boleh menjatuhkan nilai pasaran hartanah semasa. ‘‘Saya ingin mengambil contoh masalah yang berlaku di Mont Kiara Damai yang mengalami pe­nyusutan nilai jualan sehingga lima peratus dan Tijari 2 yang menyusut lebih 12 peratus,’’ katanya. Bercakap mengenai trend pembelian kediaman di Lembah Klang pada waktu ini, kata Adzman Shah, trend pembelian masih untuk kondomonium dan pangsapuri manakala pangsapuri perkhidmatan memperlihatkan kejatuhan pasaran. Katanya, Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) dalam tempoh separuh pertama tahun lalu menunjukkan, sebanyak 56.5 peratus pembeli baharu membeli kondominium dan pangsapuri manakala 35.5 peratus sahaja membeli pangsapuri per­khidmatan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140526/ek_01/Harga-kediaman-naik-di-Lembah-Klang#ixzz32taioGBP © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment